ZULKARNAIN MOHD. YASIN
ZULKARNAIN MOHD. YASIN

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Zulkarnain Mohd. Yasin berkata, hal demikian kerana PI1M begitu dekat dengan masyarakat dan mempunyai akses yang mudah untuk mendekati mereka.

Bagi memastikan peranan itu dimainkan semaksimum mungkin, katanya, pengendali PI1M iaitu pengurus dan penolong pengurus perlu proaktif dan sentiasa peka dengan berita palsu yang tular dalam talian.

“Setiap kali tularnya sesuatu berita yang meragukan, pengurus dan penolong pengurus PI1M perlu menjadi orang pertama mengetahuinya dan bertindak menapis berita berkenaan melalui portal Sebenarnya.my.

“Sekiranya berita itu palsu, maka mereka perlu memberitahu kepada masyarakat agar be­rita tersebut tidak dikongsikan.

“Dalam masa sama, mereka juga perlu mengingatkan ma­syarakat supaya sentiasa me­nyemak kesahihan sesuatu be­rita itu di portal Sebenarnya.my,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dalam Siri Jelajah Sebenarnya.my Peringkat Negeri Pahang di Dewan Terbuka Batu Talam di sini, baru-baru ini.

Pelbagai aktiviti diadakan sempena karnival sehari itu seperti senamrobik, pertandingan sepakan penalti, pertandingan membina permainan brick, cabutan bertuah serta pameran daripada agensi-agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, Datuk Abd. Aziz Mat Kiram yang hadir me­rasmikan karnival itu turut me­nyampaikan sumbangan berupa ke­per­luan harian kepada golongan asnaf.

Pada sebelah malam diadakan Bicara Perdana: Berita Palsu Musuh Negara yang menampilkan penceramah terkenal Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Harryanto Rizal di dewan Sekolah Menengah Agama Al-Falah.

Menurut Zulkarnain, PI1M yang ditubuhkan secara berperingkat di seluruh negara bermula 2013 telah diiktiraf sebagai satu daripada pusat komuniti yang berjaya membangunkan masyarakat setempat khusus­nya dari segi sosio ekonomi.

Sehubungan itu, jelas beliau, PI1M mempunyai pe­ngaruh yang kuat dalam mendidik masyarakat terutama mengenai peri penting mendapatkan kesahihan sesuatu be­rita sebelum menyebarkannya.

“Bagi memperkasakan lagi kempen ini, PI1M boleh melakukan kerjasama dengan institusi-institusi seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), pihak masjid, sekolah dan sebagainya,

“Melalui pelbagai program de­ngan kerjasama komuniti dan institusi setempat, saya percaya PI1M dapat memainkan peranan lebih berkesan dalam menangani gejala penyebaran berita palsu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus PI1M Batu Talam, Nor Sharizah Abd. Razak ketika ditemui dalam karnival itu berkata, PI1M kendaliannya menjadi rujukan penduduk setempat setiap kali tularnya sesuatu berita meragukan.

Katanya, sebagai individu bertanggungjawab terhadap pu­sat tersebut, beliau akan memeriksa berita berkenaan di portal Sebenarnya.my dan memberitahu penduduk sama ada ia sahih atau palsu.

“Sebahagian penduduk di sini masih belum ada kemahiran dalam melayari internet, jadi apabila mereka menerima sesuatu berita melalui aplikasi komunikasi seperti WhatsApp, mereka akan ke PI1M untuk mendapatkan pengesahan.

“Pada saya ini sikap yang bagus, ia menunjukkan masyarakat semakin peka dengan penyebaran berita palsu serta kesan-kesannya kepada negara,” katanya.

Bagi Pengurus PI1M Taman Mutiara 1, Norhamizah Zulkifli, aplikasi Dashboard dijadikan sebagai medium dalam menguar-uarkan kesahihan sesuatu berita yang tular.

Jelasnya, Dashboard mempunyai capaian yang luas kerana setiap pengguna PI1M mempunyai akses kepada aplikasi tersebut.

“PI1M juga menjalankan aktiviti kesedaran dengan me­nganjurkan pelbagai program se­perti pertandingan video pendek bertemakan ‘Tidak Pasti Jangan Kongsi’, kuiz dan sebagainya.

“Pengurus PI1M perlu ada kreativiti dalam mendidik masyarakat mengenai bahaya berita palsu dan menyeba--rluaskan tentang portal Sebenarnya.my,” katanya.