Tanpa rasa ragu ibunya memberitahu anaknya itu perlu hadir ke sekolah memandangkan dia telah memuat naik nota pekeliling sekolah menggunakan telefon bimbitnya menerusi aplikasi ‘komuniti Dashborad’ yang ditawarkan kepada ahli Pusat Internet 1Malaysia (PI1M).

Begitulah antara perbualan yang membuktikan bahawa PI1M berjaya membawa perubahan terhadap kehidupan masyarakat luar bandar menerusi penggunaan teknologi internet.

Peningkatan sistem rangkaian perhubungan komuniti penduduk luar bandar itu juga telah membuka dimensi baharu dalam usaha membantu masyarakat luar bandar mengakses maklumat dengan lebih mudah, pantas dan efisien.

Usaha itu sememangnya bertepatan dengan hasrat kerajaan bagi merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar selaras usaha ke arah mencapai status negara maju.

Dalam soal itu, PI1M memainkan peranan penting bagi membantu mentransformasikan penduduk luar bandar menjadi sebuah ‘komuniti bijak’ atau celik teknologi dalam dunia tanpa sempadan kini.

Bertitik tolak daripada peringkat mewujudkan ‘komuniti bijak’, pelbagai inisiatif serta aktiviti telah dilaksanakan dan dirancang PI1M dengan jalinan kerjasama syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini.

Menurut Pengurus Besar Telekom Malaysia (TM), Abdul Hamid Ramli, proses untuk mewujudkan ‘komuniti bijak’ memerlukan komitmen yang tinggi bukan sahaja daripada PI1M, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telco, namun paling utama adalah masyarakat itu sendiri.

“Oleh itu salah satu cabaran bukan sahaja untuk mewujudkan program atau aktiviti sebagai pengisian PI1M yang mampu memberi impak, sebaliknya mampu diterima oleh penduduk setempat,” katanya.

Mengulas berhubung inisiatif pewujudan sistem rangkaian perhubungan antara pengguna PI1M iaitu ‘Komuniti Dashborad’, Abdul Hamid berkata, aplikasi atau sistem itu menyasarkan perkembangan rangkaian perhubungan antara penduduk luar bandar melalui penggunaan internet.

“Pada peringkat awal kita mahu mewujudkan sebuah smart community (komuniti bijak), seterusnya dikembangkan kepada smart district (daerah bijak) sebelum menjadi sebuah smart nation (negara bijak).

“Menjadi smart nation bakal menyaksikan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar amat rendah sekali gus tidak meminggirkan penduduk luar bandar dalam arus pemodenan teknologi,” katanya.