Perkembangan itu juga menyebabkan lebih ramai rakyat Malaysia khususnya anak muda mengambil peluang untuk menjalankan perniagaan dan mengeluarkan produk masing-masing secara dalam talian.

Golongan penggiat seni juga tidak terkecuali menerima tempias ledakan teknologi berkenaan dengan memperkenalkan produk masing-masing, ditambah dengan peminat atau pengikut yang ramai di laman sosial menyebabkan jenama mereka lebih cepat dikenali umum.

Penyanyi popular tanah air yang pernah diberi jolokan ‘Raja Rock’, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search, turut berkecimpung dalam bidang perniagaan menerusi jenama Phewiiit! yang sema­kin mendapat tempat dalam kalangan orang ramai.

Jelas anak kelahiran Johor Bahru itu, jenama Phewiiit! bukan sahaja merangkumi produk minuman seperti teh, malah ia turut diperluaskan kepada produk lain se­perti pakai­an dan wangian.

Amy yang po­pular dengan lagu Fan­tasia Bulan Ma­du memberi­tahu, Phewiiit! by Amy Search te­lah didaftar sebagai jenamanya yang sah di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (My­IPO).

Jelasnya, perka­ta­an Phe­wiiit! itu telah digunakan sejak dari zaman persekolahannya lagi, tetapi mula menjadi sinonim dengannya sewaktu memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) 1995 menerusi album Magic.

“Semasa menaiki pentas untuk mengambil anugerah, perkataan pertama yang keluar daripada mulut saya adalah Phewiiit! dan bermula dari situ perkataan itu menjadi sinonim dengan diri saya.

“Selepas beberapa ketika menjadi trademark, saya mula berfikir untuk menjenamakan perkataan ini dan akhirnya saya daftarkan Phewiiit! secara sah dengan MyIPO,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Menurut Amy lagi, walaupun perlu mengeluarkan kos bagi mendaftarkan Phewiiit! sebagai cap dagangan, namun usaha tersebut sangat berbaloi kerana ia akan kekal sebagai hak eksklusif beliau.

“Walaupun rancak berniaga dan produk kita mendapat sambutan yang baik, namun usaha untuk mendaftarkan produk perlu diberi keutamaan kerana untuk membina reputasi sesuatu jenama bukanlah sesuatu yang mudah.

“Hal ini sangat penting bagi mengelakkan timbulnya masalah seperti isu ciplak dan sebagainya. Orang lain mungkin dengan mudah mengambil ke­sempatan ke atas usaha kita ke­rana kegagalan kita sendiri untuk mendaftar dan melindungi hasil titik peluh kita,” jelasnya.