Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, pendirian itu adalah jelas memandangkan polisi berkenaan telah ditetapkan pucuk pimpinan PH sebaik sahaja memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu.

"Ini adalah pendirian yang sudah dipersetujui semua pimpinan parti komponen dalam PH. Kita tidak akan mengulangi kesilapan rejim terdahulu dan kita boleh tengok macam hari ini kami turun dengan kenderaan sendiri.


"Kalau jentera kerajaan pun kita tidak guna untuk kempen, takkan kita boleh bagi wang kepada penyokong seperti gambar yang tersebar di media sosial sejak pagi tadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Bilik Gerakan PH Felda Sungai Koyan 3 di sini hari ini.
 - UTUSAN ONLINE