Timbalan Pengerusi PH Terengganu, Azan Ismail berkata setakat ini kadar kemiskinan di negeri itu menjadi tumpuan utama memandangkan nisbah pendapatan negeri dengan jumlah penduduk yang tidak selari dengan tahap kemiskinan berbanding negeri lain.

"Mengikut laporan kerajaan terdahulu, pendapatan seramai 20.39 peratus rakyat Terengganu berada di bawah paras kemiskinan iaitu RM780...kalau ia mengikut tahap kemiskinan yang digariskan kerajaan pusat iaitu RM900 sudah tentu ia akan meningkat kepada 30 peratus.

Dalam titah Sultan Terengganu (Sultan Mizan Zainal Abidin) ketika sidang Dewan Undangan Negeri berlangsung pada tahun lepas, baginda mahu kerajaan ketika itu memberi fokus ke arah penurunan tahap kemiskinan kepada yang lebih munasabah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa PKR Terengganu dan penyerahan sumbangan barangan keperluan dapur serta pakaian hari raya kepada 60 golongan asnaf di sini hari ini.

Azan yang juga Pengerusi PKR Terengganu berkata selepas PH berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, antara perbincangan utama mereka ialah memastikan tahap kemiskinan di semua negeri turun kepada 10 peratus sahaja.

"Pelaksanaannya nanti bergantung pada kaedah yang akan ditentukan oleh kerajaan pusat dan pada masa sama semua 13 kementerian yang ditubuhkan itu akan merancang satu formula yang boleh diterima pakai di negeri yang diperintah pembangkang terutama Terengganu dan Kelantan yang agak terkebelakang dalam perkara ini.

"Sehingga hari ini, institusi yang paling mustahak ialah majlis penasihat yang akan dibentuk nanti kerana bukan sahaja memastikan polisi dasar dibuat malah pemantauan terperinci untuk memastikan matlamat menurunkan kadar kemiskinan itu tercapai dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi," katanya.

Beliau turut mencadangkan pelaksanaan laporan audit secara dwitahunan untuk memastikan semua program yang dibuat nanti benar-benar memberi impak positif kepada rakyat dalam meningkatkan taraf sosio- ekonomi mereka. - BERNAMA