Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, langkah menjemput pengundi di rumah dan menghantar mereka ke pusat pengundian adalah perkara biasa dalam pilihan raya. 

“Ia bukan langkah kecemasan kerana ada pelbagai cara yang dilakukan untuk memastikan pengundi keluar mengundi,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Parlimen Port Dickson di sini sebentar tadi. 

Beliau mengulas dakwaan bahawa PH mengeluarkan arahan kepada petugasnya supaya mengambil pengundi dan menghantar mereka ke pusat pengundian ekoran peratusan keluar mengundi rendah. 

Setakat pukul 1 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 40 peratus daripada 68,317 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka. 

Ahmad Fahmi berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi yang rendah namun berharap jumlahnya meningkat sebelum pusat pengundian ditutup pukul 5.30 petang. 

Beliau berkata, berdasarkan kajian awal, tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lukut, Chuah dan Sri Tanjung mencatat peratusan kurang memberangsangkan walaupun dimenangi PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lalu. 

Jelasnya, dua lagi DUN iaitu Bagan Pinang dan Linggi yang dimenangi calon BN pula mencatatkan peratusan yang agak baik. 

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi berkata, sebanyak 57 peratus pengundi yang telah keluar mengundi terdiri daripada pengundi Melayu; Cina (23 peratus); India(14 peratus) manakala lain-lain enam peratus. 

Ujarnya, sebanyak 27.3 peratus adalah kelompok umur 31 hingga 40 tahun manakala 16.8 peratus lagi adalah pengundi berusia antara 21 hingga 30 tahun. - UTUSAN ONLINE