Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata, sepanjang 61 tahun Barisan Nasional (BN) mentadbir negara, masyarakat tidak pernah didedahkan dengan manifesto parti tersebut kerana pendekatan seumpama itu tidak pernah dilakukan.

Katanya, masyarakat sendiri bukan sahaja tidak mengingati janji-janji yang ditawarkan semasa pilihan raya malah tidak tahu sama ada ia telah dilaksanakan atau tidak.

“Saya mahu bertanya, adakah kita ingat apa manifesto pilihan raya BN pada tahun 2013, 2008, 2004, 1999 dan 1995?. Tiada siapa yang tahu kerana tiada pendekatan ini dalam masyarakat.

“Kita tidak pernah bertanya kepada kerajaan dan ini adalah kali pertama selepas 61 tahun, kerajaan (PH) beritahu kepada rakyat apa yang kita janji dan ingin lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kaunter Khidmat Rakyat Kementerian Sumber Manusia di Pasar Awam Kampar di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan PH mempunyai kekangan dalam melaksanakan manifesto tersebut ekoran keadaan kewangan negara.

“Seperti apa yang Perdana Menteri beritahu, kita akan cuba laksanakan. Ini bukan untuk kita tetapi untuk rakyat.

“Apa yang telah dicapai, kita telah capai dan mana yang belum dicapai, ia sedang dalam proses pelaksanaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE