Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Abu Bakar Harun berkata, pembinaan sembilan projek rumah PGBF yang terbengkalai itu perlu segera dibuat supaya sasaran 5,000 unit rumah untuk generasi baharu Felda di nege­ri ini dapat disiapkan.

“Setakat ini enam projek PGBF berjaya disiapkan iaitu di Felda Su­ngai Koyan di Raub; Felda Padang Piol dan Felda Kota Gelanggi 2 (Jerantut); Felda Keratong 3, Felda Selancar dan Felda Selendang di Rompin.

“Pihak Felda kini sedang menjalankan temuduga untuk memi­lih generasi baharu Felda yang sudah berkahwin dan layak membeli rumah tersebut,” katanya

Beliau berkata demikian sele­pas majlis penyampaian pampasan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada 138 peneroka Jengka yang tanahnya diambil untuk sambungan tambahan kabel elektrik di Felda Siantan Jengka 19, di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail; Pengurus Besar Jabatan Pemba­ngunan Ta­nah TNB, Hashim Ismail; Pengurus Besar Wilayah Jengka, Abd. Malik Abd. Rani dan Ketua Peneroka Felda Wilayah Jengka, Sulaiman Bakar.

Abu Bakar berkata, bagi fasa kedua PGBF, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak me­ngarahkan Felda membina rumah pada kadar harga RM70,000 hingga RM80,000 seunit.

“Bagi kelancaran projek PGBF fasa kedua ini, Felda akan memastikan kontraktor berwibawa terpi­lih melaksanakan projek ini, sekali gus akan mengurangkan penantian ge­nerasi baharu memilih rumah sendiri,” katanya.