Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Azman Yusof berkata, tahap kawalan di kawasan sempadan negara perlu ditingkatkan terutama melibatkan kawasan yang menjadi sasaran aktiviti jenayah rentas sempadan.

Menurutnya, tindakan memperkemas dan memantapkan keselamatan di sempadan negara secara langsung dapat memerangi masalah penyeludupan dadah, senjata api dan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini.

"Kita akan meningkatkan lagi kawalan dan rondaan di kawasan sempadan Sarawak-Kalimatan Barat dan jika perlu anggota PGA di setiap pos kawalan akan ditambah dari semasa ke semasa.

"Tidak dapat dinafikan dengan operasi-operasi yang dilakukan menerusi Op Libas, Op Batas dan Op Awas merupakan elemen penting dalam memastikan keadaan sempadan sentiasa terkawal," katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Komander Briged PGA Sarawak, Datuk Khaw Kok Chin dan Pegawai Pemerintah PGA Batalion 11, Superintenden Rosdi Inai.

Sementara itu, Azman memberitahu, PGA Sarawak merekodkan jumlah hasil rampasan Op Libas, Op Batas dan Op Awas sebanyak RM12 juta setakat 15 Oktober lalu.

Katanya, kejayaan rampasan itu membabitkan pelbagai barang merangkumi kayu balak, kayu bergergaji minyak diesel, gula, rokok, minuman keras, mercun dan lain-lain barangan.

"Nilai rampasan yang direkodkan itu meningkatkan kira-kira RM5 juta berbanding RM7.03 juta yang direkodkan sepanjang tahun lalu," katanya. - UTUSAN ONLINE