SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, tanggungjawab mereka paling besar ialah pelaksanaan operasi masyair melibatkan wukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah dan melontar di Mina tidak lama lagi.

“Ada sembilan hari lagi operasi masyair akan berlangsung. Oleh itu adalah diharapkan para petugas terus bersemangat untuk menjalankan amanah yang diberikan dengan penuh bertanggungjawab dan demi kerana Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-59 di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis yang turut disertai 600 petugas Tabung Haji itu ialah bekas Mufti Pulau Pinang yang juga Pakar Rujuk, Datuk Seri Hassan Ahmad.

Syed Saleh berkata, ketika ini operasi Tabung Haji di tanah suci Mekah dan Madinah serta di Malaysia berjalan lancar.

“Setakat hari ini sebanyak 17,480 daripada 22,320 jemaah haji Malaysia tiba di Mekah,” katanya.

Beliau juga melahirkan rasa gembira apabila audit ISO Tabung Haji di Madinah musim ini berjaya memperoleh sifar dalam Laporan Ketidakpatuhan yang bermakna mereka mematuhi semua prosedur ditetapkan.

Pada majlis hari ini, semua petugas turut melafazkan ikrar dan menyanyikan lagu Jalur Gemilang. Ia merupakan acara kedua dianjurkan oleh Tabung Haji bagi menyambut Hari Kebangsaan Ke-59.

Semalam, majlis tahlil dan ba­caan surah yasin diadakan de­ngan dipimpin oleh Imam Surau Janadriyah, Zulkefli Ahmad.