Menurutnya, jawatan bumiputera bukan Islam atau Dayak dalam lembaga syarikat minyak dan gas itu akan diisi, cuma belum menemukan calon yang benar-benar sesuai dan berpengalaman.

“Tunggu dulu. Anda (pemberita) boleh bertanya kepada ahli lembaga nanti. Kini (dalam lembaga telah dilantik) kita ada Datuk Muhammad Medan Abdullah dan beliau adalah Kelabit (bumiputera bukan Melayu), cuma agama sahaja (Islam),” katanya selepas menghadiri Majlis Korban Perdana Peringkat Negeri di Masjid Darul Hana di sini hari ini.

Beliau mengulas kritikan pihak tertentu di media sosial dan pembangkang di negeri ini berhubung kepimpinannya yang didakwa kurang demokrasi apabila hanya me­lantik seorang sahaja kaum Dayak sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petros.

Antara yang lantang memberi kritikan ialah ahli DAP, Abdul Aziz Isa yang merupakan pembantu kepada Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen.

Aziz dalam kenyataannya menerusi Malaysiakini berkata, komposisi Lembaga Petros menunjukkan ketidakseimbangan kaum dan turut mengaitkan isu tersebut dengan corak kepimpinan UMNO di Semenanjung yang didakwanya sering memainkan isu kaum dan agama.

Isu pelantikan bumiputera bukan Islam dalam Lembaga Petros timbul selepas Pejabat Ketua Menteri mengumumkan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri yang pernah berkhidmat dengan Malaysia LNG Sdn. Bhd. di Bintulu, Tan Sri Hamid Bugo dilantik sebagai Pengerusi Petros.

Empat daripada lima Ahli Lembaga Pengarah yang sudah dilantik ialah Muhammad Me­dan, Sharbini Suhaili, Zuraimi Sabki dan Heng Hock Cheng.

Mengulas lanjut, Abang Johari mengingatkan rakyat ne­geri ini agar jangan sesekali memainkan sentimen kaum dan agama dalam isu tersebut.

“Biarkan mereka (mengkritik)... tidak apa. Saya berharap jangan diikut sentimen keagamaan seperti di Semenanjung dan jangan mainkan isu agama dalam hal ini,” ujarnya.

Terdahulu, Abang Johari menghadiri majlis korban yang menyaksikan 11 ekor lembu yang disumbangkan beliau bersama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr. Abdul Rahman Junaidi disembelih dan diagihkan kepada penduduk.