Keputusan itu akan diumumkan oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop selepas syarikat minyak nasional itu mengemukakan permohonan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 4 Jun lalu, Petronas memfailkan petisyen bagi mendapat perisytiharan bahawa syarikat itu memiliki kuasa eksklusif bagi mengawal selia aktiviti huluan dalam industri minyak dan gas di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.

Petronas memohon penjelasan berhubung hak dan kedudukannya dalam pengendalian industri minyak dan gas seperti yang termaktub di bawah PDA yang merupakan undang-undang Persekutuan.

Perbadanan minyak nasional itu turut memohon perisytiharan bahawa Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang diguna pakai di Sarawak, secara tersirat adalah termansuh setelah PDA terpakai.

PDA yang digubal di Parlimen menyatakan, Petronas selaku syarikat minyak nasional mempunyai kawalan dan pemilikan eksklusif bagi industri minyak dan gas di Malaysia.

Sebelum itu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Petronas berhujah, Mahkamah Persekutuan merupakan forum yang sesuai bagi mendengar petisyen yang dikemukakan oleh anak guamnya.

Beliau berhujah, pertikaian berhubung urusan pengendalian minyak dan gas yang dibangkitkan oleh pemohon melibatkan undang-undang Persekutuan yang digubal di Parlimen.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Negeri Sarawak, Datuk Seri J.C. Fong membantah permohonan tersebut dengan menyatakan, OMO masih merupakan undang-undang yang baik.

Beliau berhujah, oleh kerana ordinan itu belum dimansuhkan, OMO masih merupakan undang-undang negeri dan sah untuk diguna pakai.

Oleh yang demikian, pendengaran petisyen itu sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi, bukan Mahkamah Persekutuan.

Isu berhubung hak eksklusif minyak dan gas di Sarawak bermula apabila kerajaan negeri menubuhkan entiti pengurusan minyaknya sendiri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) pada Ogos tahun lalu berpandukan kepada OMO.

Serentak itu, semua syarikat yang beroperasi dalam aktiviti huluan minyak dan gas di negeri itu dikehendaki memperoleh lesen dan pajakan dari Kerajaan Sarawak pada 1 Julai.

Perkara itu membawa kepada pertikaian undang-undang selepas Petronas menyifatkan tindakan itu bercanggah dengan penggubalan PDA yang menyatakan, syarikat itu diberi kuasa eksklusif sebagai penyelia aktiviti huluan bagi industri petroleum di Malaysia, termasuk Sarawak.