Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul­ Rahman berkata, orang Me­layu sebaliknya perlu be­­kerja lebih kuat termasuk meng­adaptasi perubahan tek­nologi semasa yang mampu meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Perbelanjaan masa hada­pan termasuk persekolahan­ dan perubatan semakin me­ningkat. Sekiranya tidak me­nam­bah pendapatan dan ma­sih merasakan kedudukan me­reka terlalu selesa, orang Melayu juga akan semakin susah.

“Contohnya, golongan pe­tani, mereka jangan terlalu berharap dengan hasil tuaian padi sahaja. Sebaliknya, perlu mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menternak lembu atau menanam cili termasuk mengadaptasi teknologi moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Mes­yuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar Ke-36 di sini hari ini.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar, Datuk Ramli Norani.

Tambah beliau, orang Melayu perlu mencontohi kaum Cina yang berubah daripada pekerja buruh kepada pengusaha demi kepentingan eko­­nomi.

“Dahulu, orang Cina datang ke negara ini sebagai buruh, namun kini mereka menjadi pengusaha. Sementara Melayu pula lebih berpuas hati menjadi buruh,” ujarnya.