Norlela berkata, beliau dimaklumkan petani yang terlibat dalam penganjuran Pesta Padi Antarabangsa di Kampung Terus, Penanti pada Ogos lalu disaman oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Menurutnya, individu berkenaan akan dihadapkan ke mahkamah pada 15 November ini atas kesalahan meletakkan arca jerami pelbagai bentuk di tepi jalan ketika festival berkenaan berlangsung.

“Kenapa perlu sampai dikenakan tindakan mahkamah sedangkan mereka yang terlibat mempromosikan kegiatan pelancongan di negeri ini.

“Pembinaan arca berkenaan oleh orang kampung merupakan satu bentuk kemahiran yang dihargai, malah festival berkenaan yang berlangsung selama dua hari berjaya menarik kehadiran 7,000 orang," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Pada masa sama, Norlela turut kecewa apabila penganjuran festival berkenaan telah ' dirampas' daripada penduduk Penanti apabila bakal dipindahkan ke Balik Pulau pada tahun depan.

Bagaimanapun hujah berkenaan menyebabkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow (DAP - Padang Kota) bangun mencelah dengan menjelaskan lokasi penganjuran festival berkenaan ditambah dan tidak berniat untuk 'merampas' daripada penduduk Penanti. - UTUSAN ONLINE