Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar (gambar) berkata, pihaknya bersama jabatan dan agensi di bawahnya akan sentiasa memantau perkara tersebut.

“Ini bagi memastikan proses perolehan dijalankan dengan berintegriti supaya petani mendapat manfaat sepenuhnya daripada peruntukan disediakan kerajaan.

“Kementerian memandang serius terhadap perkara ini dan sedia bekerjasama dengan semua pihak untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku sepertimana didakwa,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini mendedahkan peruntukan geran bantuan petani mengalami ketirisan mencecah jutaan ringgit setiap tahun berikutan segelintir kontraktor dikesan menaikkan harga barangan pertanian seba­nyak 30 peratus untuk dibekalkan kepada petani yang layak menerima bantuan berkenaan.

Kontraktor terbabit didakwa menaikkan harga secara melampau walaupun harga barangan runcit didapati lebih rendah berbanding harga ditawarkan dalam proses tender.

Ini bermakna barangan yang diterima petani berkurangan daripada jumlah sepatutnya berdasarkan nilai geran bantuan diluluskan.

Dalam pada itu, jelas Ismail, proses perolehan serta pemberian bantuan dijalankan kementerian mematuhi segala tatacara dan prosedur ditetapkan.

“Ini termasuk kajian pasaran dan pemilihan pembekal yang mengambil harga terendah pasaran serta menepati spesifikasi ditetapkan jawatan kuasa teknikal.

“Barang input pertanian tidak termasuk dalam senarai barangan terkawal dan harganya ditentukan pasaran,” ujar Ismail.