Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pemikiran petani bumiputera kita masih di tahap yang lama dan mengamalkan cara pertanian dengan kaedah lama.

“Sepatutnya golongan ini ubah minda mereka mendalami pelbagai ilmu supaya produk keluaran mereka diperluaskan ke luar negara dan bukan sekadar pasaran tempatan.

“Kita tidak mahu hasil keluaran petani kita hanya dipasarkan di pasar malam dan pasar tani sebaliknya kita mahu produk kita terbang jauh ke luar negara sebab itu kita perlu berfikiran progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin Peladang 2017 dari seluruh negara di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Tan Sri Zainal Dahalan dan Pengerusi Jemaah Pengarah Peladang Selangor, Abdul Razak Khasbullah.

Kira-kira 1,000 pemimpin peladang yang hadir dalam pertemuan tersebut turut menyuarakan permasalahan mereka di kawasan masing-masing.

Dalam majlis berkenaan turut diserahkan cek kumpulan Wang Pinjaman Pertubuhan Peladang (K3P) yang bernilai RM3 juta sebagai modal pusingan projek integrasi kepada Pertubuhan Peladang Johor.

Mengulas lanjut Tajuddin berkata, petani bumiputera perlu mencontohi sikap petani kaum Tionghua yang sudah mengorak langkah dan berfikiran terbuka dalam mendalami ilmu-ilmu pertanian yang lebih canggih sekali gus membolehkan mereka mengeksport produk mereka ke pasaran luar.

“Kita mahu petani juga maju seperti itu, sebab itu perlu ubah minda mereka dan tidak hanya menjadi petani yang ‘sekadar hidup’ sebaliknya kita mampu mengorak langkah lebih jauh kerana pelbagai bantuan telah disalurkan,” katanya.

Katanya lagi, petani kaum Tiong­hua sangat rajin dan jika dibandingkan pendapatan mereka adalah jauh lebih tinggi dan ini bermakna petani bumiputera kita masih ketinggalan.

Menurutnya lagi, petani bumiputera juga perlu menggunakan pelbagai bantuan yang disalurkan kerajaan dalam mempertingkatkan pendapatan mereka selain bekerja keras.