Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, walaupun sudah keluar daripada kepompong kemiskinan, hasil program pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan, namun kedudukan ekonomi golongan berkenaan masih belum mencapai tahap diinginkan dalam menikmati kemajuan negara.

Menurut Tajuddin, jika dibandingkan dengan petani da­ri­pada kaum Tionghua, pendapatan mereka dalam pertanian adalah lebih tinggi yang bermakna petani bumiputera masih miskin.

“Majoriti petani hanya memperoleh pendapatan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan. Ada juga berpendapatan kurang daripada RM1,500. Ini boleh berubah jika petani mengamalkan teknologi moden dalam pertanian sekali gus meningkatkan pengeluaran.

“Kita mesti berfikiran progresif dan bersedia menimba ilmu baharu dalam membangunkan industri pertanian. Perubahan minda perlu supaya kita lebih bersedia mengeluarkan produk yang kompetitif untuk tujuan dieksport,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu program bual bicara Selamat Pagi Malaysia sempena pelancaran Gelombang Tani Nasional 2017 di Angkasapuri di sini, hari ini.

Tajuddin menambah, petani juga harus meninggalkan amalan tradisional iaitu bukan setakat bercucuk tanam, malah meningkatkan strategi pemasaran serta penjenamaan bagi tujuan pasaran luar.

“Kenapa kita perlu menerjah ke pasaran luar? Kerana di sanalah wang berada. Sebagai contoh, durian Musang King, ia mendapat permintaan tinggi di China dan dijual pada harga yang mahal,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga mahu masyarakat terutama golongan muda supaya mengubah persepsi bahawa mereka yang terlibat dalam bidang pertanian tidak mempunyai masa depan cerah.

“Golongan muda tidak menyedari bahawa pertanian juga membabitkan strategi pemasaran dan komunikasi berkesan untuk pergi jauh. Jika kita tidak mahu ketinggalan, kita harus mengubah minda dan sikap,” jelasnya.