Berikutan itu, Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera bukan sahaja untuk menghentikan penganjur tetapi juga membendung gejala homoseksual yang semakin menjadi-jadi.

Beliau berkata, semakin hari, kumpulan pendukung homoseksual semakin berani untuk menzahirkan kecenderungan mereka sehingga secara terbuka mahu berkumpul dan berhibur yang jelas bukan sahaja ha­ram di sisi Islam tetapi juga tidak selari de­ngan Perlembagaan negara.

“Perkara ini perlu dilihat secara keseluruhannya. Kementerian Belia dan Sukan perlu campur tangan kerana kemungkinan majoriti peserta pesta itu merupakan belia. Jangan sampai belia kita terus rosak.

“Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan juga perlu lihat secara serius. Penganjuran pesta itu sendiri adalah haram dalam Islam, inikan pula pesta gay yang sudah tentunya ditegah Islam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penganjuran parti muzik gay, White Party BKK Warm Up yang dirancang diadakan di Rooftop GTower di sini pada 30 September ini.

Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad juga sependapat dengan menegaskan penganjuran pesta itu bukan semata-mata bertentangan dengan amalan Islam tetapi lebih kepada isu akhlak serta moral.

Beliau percaya, agama lain juga tidak membenarkan penganutnya terlibat dengan gejala tidak berakhlak seperti pesta muzik gay itu.

“Jangan kita lupa prinsip Rukun Negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Negara kita dibina berasaskan prinsip tersebut.

“Di manakah kesopanan dan kesusilaan dalam penganjuran pesta muzik gay ini?,” katanya.

Ditanya sebab kumpulan pendukung aktiviti seperti itu sema­kin berani melakukannya secara terbuka, Ismail Mina berkata, mereka bijak mengeksploitasi kelompongan dalam perunda­ngan negara.

“Sebab itu, dalam hal ini pihak berkuasa harus tegas dan cepat bertindak. Cukup-cukuplah cubaan mahu merosakkan negara, kita ada beberapa isu yang masih tidak diselesaikan seperti dadah, jangan tambah perkara tidak bermoral lagi,” katanya.