Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendirian itu berpaksikan kepada Islam sebagai agama rasmi negara serta tuntutan majoriti rakyat selain impak negatif yang mungkin berlaku ekoran pesta berkenaan.

“Jika pesta arak dianjurkan, jangan salahkan Kerajaan Persekutuan sekiranya apa-apa impak negatif seperti masalah sosial, jenayah atau ancaman di luar jangkaan.

“Kita juga ingin menegaskan, pesta arak yang akan diadakan di Selangor memang tidak dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kayuhan Santai Bijak Bersedekah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Garu di sini hari ini.

Yang hadir sama,  Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Datuk Zawawi Othman dan ADUN Selising, Zulkefli Ali.

Asyraf Wajdi berkata, keputusan untuk memberi laluan kepada penganjuran pesta itu di Selangor menunjukkan kepimpinan kerajaan negeri lebih mementingkan kedudukan politik dan menafikan desakan majoriti rakyat yang tidak mahu pesta berkenaan dianjurkan. - UTUSAN ONLINE