Program tersebut terpaksa ditangguhkan berikutan lokasi pesta itu dinaiki air selain berbecak ekoran hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan semalam.

Dalam masa sama, lokasi asal program tersebut juga akan diubah ke kawasan lain yang bakal ditentukan oleh pihak penganjur dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia, Sukan, Kebudayaan dan Kesenian negeri, Datuk Abdul Jamil Saad memberitahu, keputusan menunda dan memindahkan lokasi program tersebut terpaksa dilakukan berikutan keadaan kawasannya yang digenangi air sekali gus menjejaskan perjalanan pesta berkenaan.

Katanya, lokasi dan tarikh baharu program tersebut akan dimaklumkan dalam masa terdekat dengan pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan baharu untuk diadakan pesta berkenaan.

“Program itu tetap akan diadakan di kawasan Kayang selain kita mengekalkan jawatankuasa sedia ada. Segala yang dirancangkan seperti kaedah dan skop program tersebut tetap sama, cuma lokasi dan tarikh sahaja diubah.

“Saya cukup tersentuh dengan penangguhan program ini memandang semua pihak terlibat khususnya penduduk kampung telah bekerja keras selama ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pesta Angin Timur yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama daripada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis itu adalah kali keenam berturut-turut penganjurannya sejak 2011.

Pesta Angin Timur merupakan satu program yang cukup dinanti-nantikan oleh penduduk di negeri ini selain menjadi produk pelancongan di Perlis.

Mengulas lanjut, Abdul Jamil berkata, difahamkan hujan dan ribut petir pada sebelah petang dijangka berlarutan sepanjang minggu ini di negeri ini.

Katanya, perkembangan tersebut sekali gus menjejaskan perjalanan program tersebut sekiranya ia diteruskan.

“Sebab itu kita perlu cari tarikh baharu yang sesuai untuk mengadakan program berskala besar ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Angin Timur Perlis 2018.- UTUSAN ONLINE