Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, ini disebabkan sambutan penyertaan daripada pasukan yang bertanding semakin meningkat saban tahun.

Beliau memberitahu, jika dahulu acara itu hanya melibatkan kampung-kampung nelayan di Kuala Perlis dekat sini, tetapi kini sudah disertai pasukan dari luar negeri ini.

"Sebanyak 34 buah pasukan terlibat kali ini termasuk daripada Pulau Pinang dan agensi kerajaan di Putrajaya. Ini menunjukkan acara ini semakin mendapat perhatian," katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.

Pesta Air Kuala Perlis 2017

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail diiringi Abdul Jamil Saad (kiri) menyampaikan hadiah kepada Juara Lumba Perahu kategori 14 pendayung sempena Pesta Air Kuala Perlis 2017 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Perlis hari ini. - UTUSAN ONLINE/MUHAMAD IQBAL ROSLI

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan mencemar duli menutup acara tersebut yang berlangsung selama dua hari bermula semalam dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Jamil Saad.

Menurut Azlan, setakat ini hanya dua acara sudah dimasukkan dalam kalendar pelancongan negara setiap tahun iaitu Perlis Maraton dan Pesta Angin Timur.

"Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan menilai populariti Pesta Air Kuala Perlis daripada semasa ke semasa. Oleh sebab itu, kita bercadang untuk menambah aktiviti di sebelah malam pada masa depan bergantung kepada peruntukan.

"Selain daripada itu, kita akan tambah baik juga daripada segi hadiah-hadiah pemenang dan mengadakan cabutan bertuah melalui penajaan," katanya.

Dalam acara tersebut, Kampung Seberang Ramai muncul johan bagi Kategori Perahu Panjang Terbuka dan Tradisi Kampung Perlis, Perahu Naga Antara Negeri Jemputan (Pulau Pinang) dan Perahu Naga Jabatan dan Agensi Kerajaan Perlis (Institut Kemahiran Belia Negara) yang menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 setiap pasukan. - UTUSAN ONLINE