Konsert anjuran Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) yang diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, persembahan peserta daripada Turki 'mencuri' perhatian penonton yang hadir malam tadi untuk menyaksikan 1st World Sama' Fest.

Keunikan tarian yang dipamerkan oleh tiga orang penari dari negara tersebut dengan iringan zikir dan selawat ternyata menghiburkan.

Konsert selama lebih dua jam itu turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan nasyid ulung negara, Raihan.

Turut tampil di atas pentas ialah artis popular tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Nash.

Turut menjayakan konsert tanpa alat muzik bertali itu ialah pelakon Johan As'ari bersama dengan kumpulan SUARA.

Seperti mana yang telah dijelaskan oleh Setiausaha Kehormat PERTAMA, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied selaku penganjur 1st World Sama' Fest dalam sidang akhbar lalu, persembahan para peserta dan artis adalah mengikut komponen hiburan dalam Islam iaitu zikir, marhaban dan selawat.

Memetik semula kata-kata Sheikh Abdul Kareem bahawa untuk persembahan mengikut hukum syarak, tiada artis wanita diundang untuk menjayakan Konsert 1st World Sama' bukanlah satu daya penolak untuk menggamit khalayak berhibur dengan alunan lagu ketuhanan.

Antara penonton yang hadir menyaksikan persembahan malam tadi adalah para ulamak dan tetamu dari luar negara. - UTUSAN ONLINE