Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) yang merupakan penganjur program berkenaan, Marhaini Yusoff, beliau amat bersyukur kerana program itu mendapat sambutan agak luar biasa.

“Berbeza dengan World #QuranHour tahun lalu yang melibatkan 770 lokasi di Malaysia, penganjuran Malaysia #QuranHour tahun ini melibatkan 1,670 lokasi di Malaysia serta 12 lokasi di luar negara dan ini tidak termasuk lokasi-lokasi tidak berdaftar.

“Tahun ini agak luar biasa disebabkan sinergi media merintis penyatuan ummah. Media-media bersatu dan semua stesen televisyen turut bersama-sama dalam usaha memartabatkan al-Quran,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya amat mengharapkan sokongan berterusan daripada masyarakat untuk meneruskan dan memperluaskan lagi amalan membaca al-Quran.

“Kita berharap amalan ini tidak berakhir di masjid, sebaliknya kita bawa keluar dalam kehidupan seharian dan dalam pekerjaan agar sentiasa ada hati dan jiwa yang berbudi dan penyayang,” ujarnya.

Penganjuran Malaysia #QuranHour tahun ini bertemakan Bangsa Berbudi dan Penyayang yang mengambil isi Rahmah al-Quran mengenai nilai kasih sayang, belas kasihan, peri kemanusiaan, kebaikan dan cinta, prihatin, empati serta sayangkan negara kerana Allah.

Matlamat program tersebut adalah menggalakkan budaya membaca dan memahami al-Quran sekurang-kurangnya sejam sehari sepanjang 365 hari setahun sehingga nilai-nilai dalam al-Quran menjadi sebahagian daripada peribadi bangsa.