Abdul Rahim, 81, berkata niat awalnya menyertai Felcra pada awal tahun 1980-an hanyalah untuk menambah pendapatan keluarga, memandangkan pendapatannya yang bekerja kampung tidak menentu.

Bagaimanapun apabila beliau menyertai tanah rancangan itu beliau bukan sahaja dapat mengusahakan kebun kelapa sawit, beliau juga diberikan sebuah rumah di Rancangan Kampung Tersusun (RTP) Salong, Pekan yang menjadi tempat berteduh mereka lapan sekeluarga.

"Saya bekerja di ladang dan diberi gaji selain menerima dividen yang diagihkan Felcra setiap tahun. Wang itu yang dijadikan belanja bulanan dan dikumpul untuk perbelanjaan awal sekolah anak-anak.

"Alhamdulillah, tiga daripada enam anak saya kini bergelar pendidik manakala yang lain bekerja sendiri. Sekarang saya sudah tidak mampu lagi mengusahakan ladang, tapi masih lagi menerima dividen," katanya ketika ditemui dalam Majlis Pengiystiharan Keuntungan Boleh Agih 2017 Peserta-peserta Felcra di Kompleks Rakan Muda Bera di sini yang disampaikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.

Ismail Sabri pada majlis itu, mengumumkan pengagihan dividen sebanyak RM306.94 juta bagi tahun 2017 kepada kira-kira 67,881 peserta yang akan mula diagihkan bermula hari ini.

Abdul Rahim berkata, memandangkan sejak anak-anaknya sudah bekerja, dividen itu kini disimpan untuk membantu persekolahan 13 cucunya dengan harapan mereka juga akan berjaya mencapai cita-cita mereka.

Bagi Mohd Feazil Mohamed, 31, dari Bohor Baru di sini, menyifatkan pengisytiharan agihan keuntungan itu 'melegakannya' kerana tempohnya yang dekat dengan bulan puasa membolehkan wang itu digunakan untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

"Sebenarnya ini kali pertama saya mengambil dividen ini kerana kebun kelapa sawit diwarisi selepas emak, Jamilah Awang meninggal dunia pada tahun lepas kerana komplikasi tekanan darah tinggi.

"Jadi saya berhasrat untuk berkongsi dividen ini dengan adik-beradik yang lain pada hari raya nanti kerana menjadi amalan emak membahagikan wang dividen yang diterimanya dengan anak-anak," katanya.

Seorang lagi peserta dari Bohor Baru, Sulaiman Awang, 81, berkata perasaannya bercampur antara sedih dan gembira apabila menerima wang dividen itu kerana tidak dapat berkongsi rezeki dengan isterinya Fatimah Dollah, 78, yang meninggal dunia pada minggu lepas.

Katanya, arwah isterinya merupakan orang yang kuat menyokongnya semasa beliau membuat keputusan untuk menyertai Felcra pada tahun 1973. "Saya merupakan peserta sejak tahun 1973 dan (penerima) dividen Felcra.

Setiap tahun dividen dikongsi dengan isteri... kali ini saya berhajat wang ini akan digunakan untuk mengadakan kenduri arwah seterusnya," katanya.

Sementara itu, Norliah Abd Rafar, 45, juga dari Bohor Baru berkata dividen Felcra menjadi salah satu punca pendapatan keluarganya sejak dahulu khususnya untuk membantu perbelanjaan persekolahan.

Norliah menambah pemberian sebelum hari raya juga bertepatan dengan masanya kerana ia membolehkannya membuat persiapan dengan lebih awal. -BERNAMA