Ismail mendakwa pengumuman itu dibuat mengikut Kanun Adat Luak Jelebu dan dihadiri semua Dato' Lembaga Delapan kecuali Dato' Mengiang Merah Bangsa.

"Saya telah mengumumkan Waris Kemin, Maarof Mat Rashad daripada Perut Kemin sebagai Dato' Mendika Menteri Akhirulzaman Undang Luak Jelebu ke-16," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Untuk rekod, ini adalah kali ketiga Maarof diumumkan sebagai Undang Luak yang baharu menggantikan Undang Luak Jelebu ke-15, Musa Abdul Wahab meninggal dunia pada 11 September 2014.

Pengumuman yang sama pernah dibuat pada 26 Jun tahun ini dan 2 Jun 2017 tetapi tidak mendapat pengiktirafan kerajaan negeri.

Semalam, dalam satu kenyataan media, Ismail mendakwa majlis pengumuman hari ini dibuat selepas meneliti surat Pengerusi Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Dr. Razali Ab. Malik yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri bertarikh 28 November lalu.

Bagaimanapun, Waris Maharaja Inda, Ahmad Razin Aminuddin berkata, pihak yang mengadakan majlis di Kampung Kemin hari ini telah mengelirukan masyarakat adat di sini menggunakan surat berkenaan.

Jelasnya, mereka membuat tafsiran yang salah seolah-olah dewan berkenaan telah bersetuju mengenai pelantikan Undang Luak Jelebu ke-16.

"Ayat yang digunakan dalam surat itu sangat jelas iaitu dewan itu `memulangkan semula kepada Luak Jelebu bagi memulakan semula proses mencari mata benih calon penyandang pesaka Undang Luak Jelebu ke-16'.

"Ini bermakna proses melantik Undang Luak Jelebu yang baharu perlu dimulakan dari awal sesuai dengan amalan adat di luak tersebut. Tiada dinyatakan dalam surat berkenaan persetujuan melantik mana-mana individu sebagai Undang Luak yang baharu," ujarnya.

Kemelut pelantikan Undang Luak Jelebu berlarutan sejak beberapa tahun lalu, malah seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta, Muhamad Azafean Muhamad Fahmi, 41, pernah diisytiharkan memegang jawatan itu pada 8 April 2016. - UTUSAN ONLINE