Mahdzir Khalid

Menerusi video yang dimuat naik di akaun Twitter hari ini, beliau meminta kesemua murid dan pelajar di seluruh negara memastikan kehadiran masing-masing ke sekolah tanpa sebarang alasan yang tidak munasabah.

“Saya harap para pelajar dapat datang ke sekolah sama ada sekolah kebangsaan atau sekolah menengah kerana semua guru menyayangi murid dan pelajar masing-masing,” katanya.

Dalam video yang berdurasi satu minit 48 saat itu, Mahdzir turut meminta kesemua ibu bapa menyokong usaha para pendidik dalam menjalankan tanggungjawab.

“Semoga ibu bapa dapat mendukung hasrat guru-guru untuk mengajar dan memberi pengajaran kepada anak masing-masing supaya menjadi ahli masyarakat yang berguna, berdisiplin serta memiliki akhlak yang mulia,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menggesa kesemua guru di negara ini agar dapat mendidik anak bangsa dengan penuh perhatian agar mampu menjadi insan yang berguna.

“Berilah sepenuh perhatian dalam segala usaha masing-ma­sing bagi memastikan kemenjadian murid-murid yang holistik, berjaya dalam akademik, sahsiah dan sukan serta mempunyai kecenderungan positif pada masa hadapan,” katanya.