Pada masa itu, hanya Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan Muhamad Badrul yang dalam masa sama terpaksa bergelut bagi menghadapi peperiksaan tersebut.

Namun bapanya, Allahyarham Abdul Zailani Ahmad sempat menitipkan kata-kata azimat untuk melihat anak bongsu daripada tiga beradik itu menjadi doktor perubatan.

Pesanan itulah yang telah menguatkan semangat Muhamad Badrul untuk belajar bersungguh-sungguh dan pada masa sama melupakan kesedihan kehilangan insan tercinta.

Hari ini, jika Abdul Zailani masih hidup, dia pastinya gembira dan bangga dengan pencapaian anaknya itu yang memperolehi keputusan cemerlang 9A iaitu 5A+, 2A dan 2A- sekali gus dinobatkan antara pelajar terbaik SPM di Perlis.

“Pada masa itu, saya rasa tidak semangat, namun kata-kata azimat arwah ayah yang ingin melihat saya menjadi doktor memulihkan kembali semangat saya. Alhamdulilah, saya memperolehi keputusan cemerlang hari ini dan ini adalah hadiah untuk arwah ayah,” katanya sebak ketika ditemui di sini, hari ini.

Tambahnya, dia terpaksa berjimat cermat sepanjang tinggal di asrama SM Sains Tuanku Syed Putra dengan bergantung melalui peruntukan biasiswa selepas ibu sudah tidak mampu untuk bekerja manakala abang dan kakaknya pula masih belajar.

“Selepas ini, saya bercadang menyambung pelajaran dalam bidang perubatan dan ingin mengubah nasib keluarga pada masa depan. Insya-Allah, saya akan berusaha merealisasikan hasrat arwah ayah,” katanya yang berasal dari Pokok Sena, Kedah.

Tambahnya, dia ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga dan guru-guru yang banyak membantu dalam memberi semangat dalam menghadapi SPM tahun lalu. - UTUSAN ONLINE