Apa yang pasti tiada siapa yang sanggup mengelar, menikam, menetak mahupun memancung anggota keluarga sendiri melainkan akal pelakunya berada dalam keadaan ‘sakit’ sehingga kehilangan kewarasan dan pertimbangan.

Sebab itu jika diteliti kembali, suspek yang terlibat dalam kes sedemikian kebanyakannya didapati mempunyai masalah mental, mungkin disebabkan pengaruh dadah, meroyan, halusinasi dan tidak kurang juga ada yang menyatakan ada suara halus berbisik agar melakukannya.

Malah ada juga pesakit mental yang menjurus kepada kes bunuh diri akibat tidak mampu menahan gangguan emosi dialaminya.

Walaupun semua kes itu bukan perkara baharu, namun sehingga kini tiada pihak mahu pun pakar yang dapat menghuraikan punca sebenar melainkan mengklasifikasikan golongan terbabit sebagai pesakit mental dan perlu menjalani pemeriksaan psikiatri.

Dalam pada itu, berdasarkan Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi 2017 yang dijalankan Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan menunjukkan satu daripada lima remaja mengalami kemurungan.

“Selain itu, dua daripada lima remaja berada dalam kategori kebimbangan dan kerisauan manakala satu daripada 10 remaja pula didapati tertekan.

“Dalam kategori kemurungan, 18.9 peratus adalah remaja lelaki, manakala 17.7 peratus adalah remaja perempuan; bagi kebimbangan, remaja perempuan (42.3 peratus) dan remaja lelaki (37.1) peratus; Tertekan, remaja perempuan (10.3 peratus) manakala remaja lelaki (8.9 peratus),” katanya.

Di samping itu, tinjauan itu turut mendapati Selangor mencatatkan jumlah peratusan individu mengalami kemurungan tertinggi iaitu sebanyak 22.6 peratus manakala bagi peratusan kebimbangan dan tertekan tertinggi pula adalah di Sabah iaitu pada kadar 46.8 serta 
12.3 peratus.