Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, peruntukan yang diberi adalah tidak mencukupi terutamanya untuk menampung keperluan sekolah agama rakyat yang banyak kekurangan daripada pelbagai segi.

 "Saya ada baca laporan Belanjawan 2019 walaupun bukan keseluruhan, ada peruntukan untuk sekolah tahfiz nampak besar RM 50 juta, cuma masalahnya bila sekolah itu banyak, jumlah yang kita nampak sama dengan sekolah Cina tetapi bila dipecahkan jumlah yang diterima di setiap sekolah itu jadi kecil berbanding sekolah lain.

 "Kalau tanya kita tidak sepatutnya ia diberi sama sebaliknya perlu diberi mengikut keperluan, berapa jumlah sekolah yang ada dan bukannya sama semua sekolah RM50 juta," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

 Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar diminta mengulas peruntukan yang diumumkan untuk sekolah agama dan tahfiz oleh Menteri Kewangan, Lim Guang Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini.
 
 Antara peruntukan yang diumumkan Guan Eng adalah RM50 juta untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), SJKC (RM50 juta), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) (RM50 juta), Sekolah Berasrama Penuh (RM50 juta),
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) (RM50 juta), Sekolah Mubaligh (RM50 juta), Sekolah Tahfiz (RM50 juta) dan Sekolah Pondok yang berdaftar (RM25 juta). - UTUSAN ONLINE