Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peruntukan itu jauh lebih bermakna jika disalurkan kepada banyak lagi sekolah kebangsaan luar bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak yang daif dan amat memerlukan bantuan serupa berbanding kepada hanya dua buah sekolah yang boleh dikategorikan sebagai berkemampuan.

Sambil menyifatkan agak terkesima membaca laporan mengenai isu berkenaan, Asyraf Wajdi berkata, jumlah RM23 juta itu boleh digunakan untuk menambah baik prasarana, infrastruktur bangunan serta menukar kelengkapan kerusi dan meja yang uzur di lebih 46 buah sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak.

“Kebetulan saya baharu sahaja pulang daripada menjelajah daerah kecil Pagalungan dalam Parlimen Pensiangan, Sabah yang mengambil masa hampir tujuh jam perjalanan dari Tawau termasuk sejam merentasi belantara dan sejam lagi menaiki bot.

“Kawasan ini ada lebih 3,000 penduduk dengan lima buah sekolah rendah. Salah sebuah sekolah yang sempat saya lawati iaitu Sekolah Kebangsaan Logongon Pagalungan berada dalam keadaan amat daif. Dinding dan atap usang manakala kelengkapan meja serta kerusi yang menyedihkan dengan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada mesin generator elektrik,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.

Ahad lalu, Nie Ching mengumumkan peruntukan yang telah diluluskan kepada beberapa buah SKJC antaranya di SKJC Kay Sin membabitkan jumlah sebanyak RM13 juta dan SJKC Permatang Tinggi (RM10 juta) bagi pembinaan tambahan bilik darjah serta blok baharu. - UTUSAN ONLINE