Tanpa menyebut jumlah per­untukan yang akan diberikan, Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, peruntukan berkenaan adalah satu inisiatif kerajaan membantu mang­sa mengatasi banjir berulang pada masa akan datang.

“Peruntukan akan disalurkan secara berperingkat ke­ seluruh kawasan yang terjejas (aki­bat banjir) di seluruh negara. Untuk di Hulu Besut ini sahaja kos memperbaiki prasarana yang berkaitan boleh mencecah hingga RM790 juta.

“Kita faham keperluan untuk meningkatkan dan membaiki prasarana seperti longkang dan parit perlu diperdalamkan, ada yang sempit perlu diperluaskan kerana ia juga mempengaruhi bencana banjir.

“Jadi kita minta pihak yang berkaitan segera majukan permohonan kepada pihak kementerian dan peruntukan akan disalurkan secepat yang mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung La, Hulu Besut di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Datuk Halimah Mohd. Sa­dique; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan ne­geri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Besut, Nawi Mohamad.

Banjir di Kelantan dan Terengganu yang berlaku baru-baru ini melibatkan kira-kira 20,000 mang­sa.

Jumlah itu bagaimanapun semakin berkurangan ekoran cuaca semakin baik dan banjir di kedua-dua negeri itu semakin pulih.

Dalam pada itu, Noh berpuas hati dengan gerak kerja pasukan JPBM dalam menguruskan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di kedua-dua negeri berkenaan hasil koordinasi bersama agensi-agensi lain di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Bagaimana pun katanya, pihak JPBM kini masih lagi dalam keadaan siap siaga menghadapi gelombang banjir seterusnya yang dijangka berlaku pada bila-bila masa dari sekarang.

“Daripada segi aset, kita mempunyai lima buah helikopter di Semenanjung yang akan dige­rakkan bila-bila masa untuk operasi menyelamat mangsa-mangsa banjir ke tempat pemindahan dengan kadar segera,” katanya. – BERNAMA