Dalam kenyataan hari ini, Felda berkata, peruntukan khas itu adalah bagi Bayaran Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil (BSHPH), bayaran tunggakan kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka dan bayaran khairat kematian kepada 120 waris peneroka.

“Seramai 30,799 peneroka telah menerima tuntutan BSHPH pada 31 Dis 2018 dan 4,644 peneroka pula menerima tuntutan pada 14 Jan 2019.

“Oleh itu, semua tuntutan BSHPH telah selesai diagihkan kepada peneroka dan bayaran ini hanya dibuat kepada peneroka yang terlibat bawah Program Tanam Semula,” katanya.

Ia tidak melibatkan 851 peneroka di Sungai Koyan yang tidak terbabit dengan Program Tanam Semula dan tiada tuntutan BSHPH dibuat oleh mereka. - BERNAMA