Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong yang mengesahkan bajet kementerian itu yang kekal sekitar RM1 billion berkata, secara keseluruhannya belanjawan bagi KBS kali ini lebih menyasarkan perbelanjaan terhadap pelanggannya seperti golongan anak muda, belia, atlet negara dan komuniti.

KUALA LUMPUR, 5 September 2018 - Timbalan Menteri Belia dan Sukan
STEVEN SIM CHEE KEONG

“Belanjawan kali ini berfokus dan berhemah, lebih tepat kepada dasar-dasar kita, contohnya ada pengurangan lebih kurang 11 peratus dalam perbelanjaan mengurus ibu pejabat KBS, itu penurunan agak besar. Ini bermakna pihak kementerian perlu ada disiplin dari segi urus tadbir kewangan dan tidak belanja tanpa kawalan.

“Tetapi peruntukan untuk MSN dan ISN meningkat. Begitu juga dengan peruntukan kepada belia dan sukan untuk komuniti, yang saya rasa satu berita baik kepada peminat sukan dan bagi komuniti secara amnya...tidak ketinggalan pembangunan eSports.

“Apabila kerajaan menyusutkan bajet sendiri dan mengembangkan bajet untuk rakyat, saya rasa itu satu perkembangan atau belanjawan amat positif. Berita baik untuk rakyat,” katanya ketika ditemui Bernama di lobi Parlimen selepas pembentangan Belanjawan 2019 di sini, hari ini. – BERNAMA