Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dalam masa yang sama sebanyak RM10 juta turut diperuntukkan untuk pembinaan 50 buah bilik baharu, pra sekolah aliran itu pada tahun ini.

"Kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa prihatin dengan pendidikan masyarakat India dan ini terbukti dengan peruntukan besar yang disalurkan untuk membaik pulih 524 SJKT di seluruh negara.

"Kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf sekolah-sekolah lama ini telah dimulakan iaitu sejak 2009 lagi. Pada tahun 2015 serta 2016 sahaja, kementerian memperuntukkan sebanyak RM66.5 juta untuk melakukan kerja-kerja itu melibatkan 300 buah sekolah bantuan kerajaan jenis Tamil," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bangunan baharu SJKT Ladang Lanchang, di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk P. Kamalanathan.

Majlis turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Lanchang, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri.

Mahdzir berkata keadaan itu jauh berbeza dengan negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia yang hanya mewujudkan satu aliran walaupun terdapat pelbagai kaum di negara mereka.

"Di Malaysia kita meraikan perbezaan dan sekolah-sekolah jenis kebangsaan masih lagi wujud, malah sekolah yang kurang murid seperti di SJKT Ladang ini kita tidak tutup malah terus beri bantuan dan bina bangunan baharu," katanya. - BERNAMA