Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu adalah bagi membolehkan SPRM mengenal pasti pemilik sebenar sesuatu kepentingan dalam sesuatu proses siasatan yang dijalankan.

“Ini kita lakukan kerana ada yang menggunakan nama orang lain tetapi dimiliki oleh orang lain. Jadi, kita buat undang-undang supaya dapat cekup pemilik sebenar. Ia adalah bagi mengenal pasti pihak yang betul-betul terlibat.

“Kita mahu mendapat pemunya benefisiari. Walaupun mengguna nama lain kita tetap akan jumpa dan boleh dikenakan tindakan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) 1/2019 di sini hari ini.

Ditanya berhubung penahanan tiga individu yang didakwa membuat kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V dan mereka disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Dr. Mahathir berkata, definisi perbuatan menghina itu perlu dijelaskan.

“Pada masa ini pihak penguatkuasaan tidak memahami apa yang dianggap sebagai menghina, jadi kita perlu ‘spell out’ (menyatakan) apa perbuatan atau perkataan yang dianggap sebagai menghina.

“Saya telah menyatakan bahawa di Malaysia, kita mengamalkan kebebasan bersuara dan kalau bercakap tentang perkara fakta ia tak boleh disalahkan sebaliknya kalau kita tutup mulut semua orang sehingga apabila jenayah berlaku pun kita tak boleh sebut. Ini akan berlaku ketidakadilan dalam negara kita,” katanya.

Ditanya kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong hari ini bahawa kerajaan akan menggubal satu akta baharu yang berperanan melindungi serta memelihara kemuliaan institusi diraja daripada dihina dan dipersenda, beliau berkata: “Kita kena tengok mana definisi lebih tepat.”

Berhubung pertukaran ‘saat akhir’ dalam senarai rombakan ketua setiausaha (KSU) membabitkan tiga kementerian, Dr. Mahathir menjelaskan, sesorang KSU berhak untuk dipindahkan daripada sesebuah jabatan ke jabatan lain.

Kata beliau, ia adalah kerana perkara itu berkaitan dengan prestasi dan harapannya di masa depan iaitu sama ada beliau boleh dinaikkan pangkat atau tidak.

“Jadi, kadang-kadang dirinya mungkin tidak sesuai dengan menteri kalau terdapat keadaan yang mana menteri dan pegawainya tidak boleh kerjasama langsung, maka kita perlu ambil kira perkara ini.

“Tetapi pada kebiasaannya, kita tak tanya menteri siapa yang dia suka walaupun kita perlu tahu apa kualiti orang yang dikehendaki oleh seseorang menteri. Jadi kita perlu siasat dengan lebih lanjut sebelum lantik,” katanya. - UTUSAN ONLINE