Zambry Abd. Kadir

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, soal keuntungan tidak seharusnya diutamakan oleh pe­maju semata-mata tanpa menimbang aspek kemam­puan rakyat serta harga rumah yang kian meningkat.

“Selain menyediakan mo­dal perniagaan yang baik, pemaju juga seharusnya memikirkan bagaimana untuk menyalurkan keuntungan itu kembali kepada rakyat.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan beri galakan iaitu kita tidak akan kenakan caj pembangunan pada rumah murah. Ini adalah pendekatan yang kita buat bagi membantu rakyat Perak memiliki rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian ke­pada pemberita selepas me­nyempurnakan Majlis Pecah Ta­nah Projek Perumahan Rak­yat Kampung Datuk Seri Kamarudin melibatkan 208 unit apartment dengan keluasan lantai 1,000 kaki persegi, di sini hari ini.

Dinamakan [email protected] Manjung, projek bernilai RM40 juta di atas tanah seluas 5.4 hektar yang dibangunkan oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) dengan kerjasama Syarikat Asas Jasakita Sdn. Bhd. itu dijangka siap pada tahun 2020.

Projek perumahan itu dijual pada harga antara RM170,000 hingga RM200,000 seunit, justeru diharap dapat membantu penjawat awam serta golongan berpendapatan kecil atau sederhana untuk memiliki rumah berkualiti.

Yang turut hadir Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Rumaizi [email protected] Daud; Pegawai Daerah Manjung, Mohamad Fariz Mohd. Hanif dan Pengerusi Syarikat Asas Jasakita Sdn. Bhd., Datuk Syed Mokhtar Syed Idris.

Dalam perkembangan berlainan, ketika diminta me­ngulas mengenai isu sebuah sekolah rendah di Hulu Langat, Selangor yang meng­asingkan gelas minuman untuk pelajar Islam dan bukan Islam, Zambry berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dalam sesebuah negara yang mempunyai kepelbagaian ma­syarakat majmuk.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku di negeri ini kerana ia menunjukkan seolah-olah Islam itu sebuah agama yang ‘keras’ dan tiada toleransi, sedangkan Islam adalah untuk kesejahteraan semua.

“Kita tidak mahu ada pihak yang memisahkan atau membataskan hubungan kita. Jadi, saya harap jangan ada mana-mana pihak yang memberi gambaran salah terhadap Islam,” tegasnya.