Penyertaan syarikat-syarikat berkenaan ke dalam ECER menjanjikan pembangunan yang bukan sedikit kepada wilayah yang berhadapan Laut China Selatan itu dan bakal meledakkan pelbagai sektor termasuk pengangkutan, pelancongan dan hartanah.

Sebelum adanya Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), kedudukan negeri-negeri berkenaan terpisah disebabkan sistem perhubungan yang kurang baik, misalnya Kelantan yang sehingga kini tidak mempunyai lebuh raya.

Namun, semuanya sedang berubah terutama apabila salah satu elemen pembangunan di wilayah berkenaan iaitu projek Jaringan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan majlis pecah tanahnya berlangsung hari ini yang akan menghubungkan terus Pantai Timur ke Lembah Klang (Kuala Lumpur–Kuantan–Kuala Terengganu–Tumpat).

Komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melaksanakan projek-projek mega di Pantai Timur yang tidak dilakukan kepemimpinan negara terdahulu menunjukkan kerajaan sekarang memahami keperluan rakyat di wilayah itu memandangkan sebelum ini kawasan tumpuan pembangunan dilihat ketara berlaku di Pantai Barat Semenanjung.

Penyediaan perhubungan darat yang lengkap iaitu lebuh raya dan kereta api tentunya mengurangkan kos pengangkutan barangan dan paling penting memudahkan serta menyingkatkan tempoh perjalanan dan merancakkan pusat pertumbuhan baharu.

Selepas ini tiba sahaja musim cuti sekolah atau perayaan, maka jalan menuju ke negeri-negeri Pantai Timur mungkin tidak lagi sesak dengan kenderaan sehingga tempoh perjalanan menjadi amat panjang dan menyesakkan dada.

Wilayah Pantai Timur juga akan menjadi hab perdagangan dan tumpuan pelaburan selain destinasi pelancongan yang sedia popular sekali gus memberi peluang kepada anak-anak mudanya membina kehidupan dan mengukuhkan ekonomi di tempat sendiri tanpa perlu lagi merantau jauh menerusi peluang pekerjaan dan perniagaan yang diwujudkan.

Dalam hal ini, satu perkara yang menarik untuk dilihat adalah pembangunan di wilayah itu akan menguji tahap kesediaan dua parti utama Melayu iaitu Pas yang mentadbir Kelantan bersama kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Pahang serta Terengganu yang ditunjangi UMNO untuk bekerjasama.

Jangan nanti isu tanah umpamanya yang di bawah kekuasaan kerajaan negeri merencatkan pembangunan yang dirancang di wilayah berkepadatan Melayu itu.

Jika tema pembangunan yang sudah semestinya berteraskan kepada pembangunan Melayu dan bumiputera menjadi pegangan, maka sepatutnya segala perancangan akan berjalan lancar.

Justeru, sekarang terpulang kepada kerajaan negeri serta keseluruhan rakyat termasuk komuniti perniagaan dan politik di sana berganding bahu bersama kerajaan Pusat untuk menjayakan komitmen tersebut kerana tanpa sokongan itu pasti apa yang dirancang tidak akan menjadi kenyataan.

Ini kerana kegagalan menjayakan pembangunan di koridor ini pasti memberikan impak kepada rakyat yang sudah menunggu lama untuk menikmati pembangunan itu.