Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, perkara itu berikutan proses undi pos luar negara adalah berdasarkan permohonan yang dibuat sendiri oleh pemilih yang layak dengan menyertakan maklumat diri iaitu nombor kad pengenalan berserta nombor pasport sebagai bukti pengenalan diri.

“Pengundi akan menerima secara terus sampul kertas undi pos dan mereka perlu menanda pilihan mereka serta hendaklah mengisi Borang Dua (pengisytiharan identiti) dengan lengkap di hadapan seorang saksi bagi membuktikan penerima sampul kertas undi itu adalah pengundi pos berkenaan. Proses ini sama sebagaimana pengundian pos yang lain.

“Borang Dua itu perlu dihantar kepada Pegawai Pengurus bahagian pilihan raya masing-masing bersama sampul yang mengandungi kertas undi sebagai pengesahan bahawa undi tersebut adalah daripada pengundi pos berkenaan.

“Sampul undi pos yang diterima oleh Pegawai Pengurus akan dibuka dengan disaksikan oleh wakil-wakil calon sebelum dimasukkan ke dalam peti undi yang dimaterai. Malah proses pengiraan undi pos juga dijalankan secara telus dengan disaksikan sendiri oleh wakil-wakil calon yang dilantik oleh calon yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE