Dalam pertemuan dengan wartawan semalam, pasangan yang popular menerusi drama Hero Seorang Cinderella itu tidak mengiya mahupun menafikan perkara tersebut sebaliknya meminta semua pihak supaya mendoakan yang terbaik buat mereka.

Fattah memberitahu, mereka tidak pasti dari mana perkara mengenai majlis serta tarikh pertunangan tersebut boleh tersebar luas dan diperkatakan orang.

“Kami sendiri tidak tahu macam mana cerita itu boleh timbul. Mungkin ini salah satu strategi untuk mempromosikan supertelefilem Wanita Terindah yang kami jayakan. Lagipun saya suka membuat kejutan.

“Yang boleh saya katakan, doa yang baik-baik untuk kami. Selagi tiada yang keluar dari mulut kami berdua, saya berharap semua pihak dapat memberikan doa terbaik untuk kami.

“Tambahan pula saya dan Fazura masing-masing sangat sibuk bekerja dalam masa terdekat ini jadi saya hanya mampu meminta anda semua mendoakan sahaja.

“Kalau ada berita baik, saya dan Fazura tidak akan mengenepikan rakan media yang sentiasa menyokong kami. Perkara tersebut pasti akan kami kongsi dengan pihak media dan peminat,” jelas Fattah.

Bercerita mengenai ikatan persahabatan mereka, Fazura mengakui, ada pihak lain yang cuba memecah belah hubungan yang telah dibina lebih tujuh bulan lalu ini.

Namun mereka menganggap itu perkara biasa dan sentiasa berfikiran positif.

“Kami sangat menghargai setiap doa yang baik daripada peminat. Tetapi pada masa yang sama, kami tidak dapat lari daripada pihak yang cuba merosakkan persahabatan kami.

“Bagi saya, ini merupakan perkara biasa dalam dunia artis. Saya dan Fattah tidak melayan perkara tersebut dan sentiasa positif. Saya sendiri sudah lama dalam industri, jadi boleh dikatakan saya sudah masak dengan per­kara seperti ini,” ujarnya.