Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, perkembangan tersebut sekali gus menyangkal persepsi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang memberangsangkan sejak beberapa tahun lalu gagal mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Katanya, Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan mula dilaksanakan pada tahun 2010 telah membuahkan hasil apabila lebih ramai isi rumah di Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menurutnya, insiden kemiskinan di seluruh negara telah menurun dengan Sabah mencatatkan penurunan paling ketara iaitu daripada empat peratus (2014) kepada 2.9 peratus tahun lalu.

“Ini membuktikan komitmen dan usaha serta hubungan rapat kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Tan Sri Musa Aman dan kerajaan Persekutuan telah mendatangkan manfaat dan hasil yang positif kepada rakyat Sabah.

“Sesetengah pihak akan cepat membangkitkan isu kadar kemiskinan Sabah yang merupakan kadar ter­tinggi di Malaysia dan cepat juga menuding jari kepada kerajaan di atas hal ini. Tetapi jika mereka telah mengkaji dengan lebih mendalam tentang struktur ekonomi Sabah, mereka akan faham kenapa ia mempu­nyai kadar kemiskinan yang lebih tinggi berbanding negeri lain,” katanya dalam ke­nyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Perangkawan Malaysia, Dr. Mohd. Uzir Mahidin mengumumkan pendapatan isi rumah bulanan penengah rakyat Malaysia meningkat 6.6 peratus kepada RM5,228 pada 2016 daripada RM4,585 pada 2014.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, antara sebab Sabah mempunyai kadar kemiskinan yang lebih tinggi berbanding negeri lain adalah kerana sektor pertanian mewakili 27 peratus daripada ekonomi Sabah iaitu tertinggi di Malaysia.

“Sektor pembuatan hanya menyumbang kepada 8.3 peratus daripada ekonomi Sabah dan sektor perlombongan, terutamanya minyak dan gas, tidaklah sebesar yang disangka kebanyakan orang iaitu hanya 62 peratus saiz sektor yang sama di Sarawak.

“Ini antaranya disebabkan Sabah hampir diabaikan dari segi pembangunan infrastruktur oleh seorang Perdana Menteri yang berkuasa lebih dua dekad. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini di bawah Perdana Menteri sekarang Sabah mendapat perhatian dari segi pembangunan infrastruktur kerana beliau melihat kepen­tingan membangunkan Sabah,” ujarnya.

Menurut Abdul Rahman, pengagihan pendapatan isi rumah Malaysia juga bertambah baik dengan Pekali GINI iaitu satu daripada indikator yang digunakan untuk mengukur tahap ketidaksamaan agihan pendapatan dalam masyarakat, menurun kepada 0.399 berbanding 0.401 pada 2014.