Pandangan itu disuarakan oleh Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakaria Abdul Rashid yang menjelaskan sememangnya Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan yang lebih baik tahun ini tetapi perkembangan ditunjukkan bagi suku pertama amat memberangsangkan.

“Soalnya sama ada kita mampu mengekalkan pertumbuhan ini untuk suku tahun seterusnya sehingga penghujung 2017 atau tidak? Kalau kita lihat Indeks Persekitaran Perniagaan (BCI) daripada aktiviti dalaman dan luar negeri, ada tanda 2017 lebih baik berbanding 2016, khususnya daripada aspek luar negeri.

“Ini juga disyorkan oleh Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Dengan persekitaran ekonomi yang bertambah baik, untuk kekalkan kadar pertumbuhan itu bagi suku kedua tidak mustahil, kalau turun pun sedikit sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2017 disokong oleh permintaan dalam negeri yang bertambah kukuh, khususnya per­belanjaan sektor swasta.

Untuk rekod, pertumbuhan ekonomi negara pada suku sama tahun lalu adalah pada kadar 4.5 peratus.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India (MAICCI), Tan Sri K. Kenneth Eswaran memberitahu, pertumbuhan memberangsangkan itu didorong oleh pelbagai program transformasi kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selain mempromosikan ekonomi negara ke peringkat antarabangsa.