Perdana Menteri berkata, ini ke­rana dalam keadaan keganasan yang kini telah merentas sempadan, sesuatu maklumat itu mungkin tidak penting di sesebuah negara tetapi penting di negara lain.

“Ini penting untuk lengkapkan maklumat dalam bentuk jigsaw puzzle... mungkin maklumat itu boleh ditemui di tempat lain di luar negara,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas berakhirnya persidangan dua hari itu di sini.

Katanya, topik berkaitan ancaman keganasan dan keganasan ekstrem menjadi antara topik utama pada sidang kemuncak khas itu dan kerana itu persidangan khas untuk itu telah diadakan.

Najib berkata, selain itu, sekatan dana kepada pengganas mestilah diperhebatkan supaya kumpulan itu tidak memperoleh sumber kewangan.

Perdana Menteri berkata, da­lam menangani keganasan, adalah penting untuk memastikan kumpulan pengganas seperti Daesh tidak mendapat rekrut baharu terutamanya golongan pelajar, dengan memberi tumpuan terhadap aspek pendidikan.

“Sekarang mereka masih berjaya peroleh (rekrut) individu-individu tertentu, maknanya the tap is still flowing dari segi bilangan rekrut baharu. Saya telah maklumkan bahawa program deradikalisasi kita telah berjaya mencapai 97 peratus,” katanya.

Najib berkata, sidang kemuncak khas itu telah menerima Deklarasi Sydney yang turut me­libatkan kerjasama dalam bidang ekonomi.

“Kita alu-alukan peranan Australia untuk terus membantu ASEAN mencapai sasaran Komuniti Ekonomi menjelang 2025 dan Pelan Strategik pelbagai pe­ringkat yang mana Australia akan memberi sumber kewangan untuk itu selain Kesalinghubungan ASEAN,” katanya.

Katanya, sewaktu sesi permukiman pada sebelah petang, para pemimpin telah membincangkan isu-isu strategik seperti Laut China Selatan, Semenanjung Korea dan isu-isu yang masih menghantui ASEAN seperti etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar.