Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya berkata, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dijangka berbincang dengan pemimpin China mengenai amalan terbaik dalam usaha memerangi jenayah keganasan dan rentas sempadan.

Menurut beliau, tumpuan juga diberikan kepada aspek imigre­sen, radikalisasi dan jenayah si­ber serta isu-isu jenayah yang melibatkan kepentingan bersama.

“Secara amnya, Malaysia mempunyai kerjasama yang baik dengan China dalam memerangi jenayah berkenaan.

“Isu-isu lain yang akan disentuh termasuk kerjasama agensi penguatkuasaan antara dua negara serta Counter Messaging Centre (CMC) yang ditubuhkan di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar bersama media Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mustafa Ibrahim.
Ahmad Zahid tiba di sini malam ini untuk memulakan lawatan kerjanya di China yang dijadualkan berakhir lusa.

Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung Interpol Ke-86 yang bakal disempurnakan Presiden China, Xi Jinping esok.

Beliau seterusnya akan me­ngadakan pertemuan dengan Men­teri Keselamatan Awam China, Guo Sheng Kun serta Setia­usaha Politik dan Hal Ehwal Awam China, Meng Jianzhu.

Ahmad Zahid juga diberikan penghormatan sebagai ketua delegasi pertama yang memberi ucapan balas dalam Mesyuarat Bersama dengan Jianzhu dan Presiden Interpol, Meng Hongwei yang  turut di­sertai delegasi Belgium, Rusia serta Amerika Syarikat malam esok.

Dalam perkembangan berkait­an, Zainuddin berkata, penyertaan dalam Perhimpunan Agung Interpol kali ini memberi peluang kepada Malaysia untuk berkongsi pengalaman dan inisiatif yang diambil dalam memerangi jenayah siber yang melibatkan penipuan kad kredit, e-kawangan, Macau scam serta love scam.