Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Me­layu Semenanjung Malay­sia, Che Ibrahim Che Ismail berkata, setiap CCTV bernilai sekurang-kurangnya RM3,000 sedangkan kos perkhidmatan dan penyelenggaraan bas sudah cukup tinggi ketika ini.

“Kebanyakan bas sudah dilengkapi dengan sistem pengesanan kedudukan glo­bal (GPS) tetapi masih banyak yang belum dilengkapi CCTV yang pasti dapat membantu menilai dengan lebih terperinci setiap kali berlaku kemalangan melalui rakaman CCTV sekali gus dapat memberi satu keputusan yang tepat terhadap pemandu bas tersebut.

“Namun kos pemasangan CCTV perlu dipertimbangkan memandangkan ia bukan dibekalkan, sebaliknya pe­ngusaha sendiri yang perlu memasangnya malah kos sedia ada agak tinggi jadi diharapkan kerajaan dapat memberi pertimbangan yang sewajar­nya,” katanya ketika dihubu­ngi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi yang bercadang untuk mewajibkan semua kenderaan perdagangan dilengkapi CCTV serta GPS berkuat kuasa pada 2020 dalam usaha mengurangkan jumlah kemalangan di negara ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sani Express Sdn. Bhd. (Sani Express), Abu Bakar Mohamad berkata, cadangan tersebut disambut baik berikutan Sani Express sendiri sudah menggunakan CCTV sejak 2007.

“Sani Express sudah menggunakan bas ekspres yang dilengkapi CCTV dan GPS sejak 10 tahun yang lalu dan sepanjang penggunaan alat-alat teknologi tersebut, ia banyak menyumbang kepada aspek keselamatan penum­pang dan mudah untuk dipantau oleh pihak pengusaha dan pihak berkuasa.

“Ini secara tidak langsung dapat mendidik para pemandu supaya sentiasa me­ngawal kelajuan mereka dalam had yang ditetapkan semasa memandu ke destinasi,” katanya.