SHAMSUDDIN BARDAN

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bar­dan berkata, pelbagai kos telah pun ditanggung oleh para majikan untuk menjaga kebajikan pekerja ­asing dan bayaran le­vi hanya akan menambahkan lagi beban sedia ada.

“Jika majikan bertanggungjawab sepenuhnya, ini akan melibatkan kos yang tinggi seperti kos Skim Bencana Pekerja (EIS), kos cuti bersalin, pemeriksaan kesihatan, perumahan serta kos menghantar pulang untuk pekerja asing.

“Ini hanya akan melemahkan daya saing dalam kalangan majikan. Jadi diharapkan kami diberi ruang bernafas dan mempertimbangkan semula kos yang dikenakan supaya para majikan boleh menjaga kebajikan yang lebih baik kepada pekerja asing,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Sumber Manusia yang memutuskan majikan di seluruh Malaysia bertanggungjawab untuk membayar levi pekerja asing mulai 1 Januari setelah setahun ia ditangguhkan untuk mendapat pandangan dan maklum balas pelbagai pertubuhan majikan.­

zainal ISMAIL
ZAINAL ISMAIL

Sementara itu, Timbalan Presiden II Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Zainal Ismail me­nyambut baik tindakan kerajaan sambil mengharapkan para majikan bersikap lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan pekerja-pekerja asing.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan semula kos yang dicadangkan tetapi majikan sendiri tidak boleh memikirkan soal mengaut keuntungan sahaja, sebaliknya fikirkan soal kebajikan pekerja masing-masing.

“Pelbagai isu yang terjadi kepada pekerja asing seperti gaji, ejen dan sindiket, ini semua sangat merugikan, sebab itu dengan pelaksanaan tersebut, kebajikan pekerja asing akan lebih terjamin dan diharapkan majikan tidak pandang satu sudut sahaja dalam hal ini,” katanya.