Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, salah satu daripada alternatif yang sedang dikaji adalah ‘11 tolak satu' yang mana TPPA diteruskan negara-negara lain tanpa melibatkan AS.

Katanya, satu lagi kaedah yang sedang dikaji adalah mengadakan perjanjian perdagangan dengan negara-negara dalam kerangka TPPA yang Malaysia belum ada perjanjian perdagangan.

“Sesetengah negara telah bercakap mengenainya secara terbuka untuk meneruskan TPPA. Pilihan lain adalah menjadi bilateral. Mexico adalah sebuah negara yang sangat penting dan sebagai contoh, Petronas baru sahaja mendapat dua blok cari gali minyak di luar Teluk Mexico.

“Sebilangan syarikat-syarikat Malaysia sudah pun berada di Mexico dan Kanada. Ini sudah pasti pilihan yang kita sedang lihat kerana kami amat pro-FTA (perjanjian perdagangan bebas).

“Kami mempunyai satu FTA dengan Turki yang prestasinya amat baik dan kami terbuka untuk mempunyai perdagangan bilateral dengan negara-negara yang kita tidak mempunyai FTA lagi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat Perniagaan Malaysia-Vietnam di sini hari ini.

Mustapa turut mengetuai de­legasi Malaysia dalam kunjungan hormat terhadap Presiden Vietnam, Tran Dai Quang.

Sebelum ini, bakal Presiden AS, Donald Trump menyatakan AS akan menarik diri daripada TPPA pada hari pertama beliau melangkah ke White House pada Januari depan sejajar dengan ikrar kempen yang disuarakannya.

Perjanjian TPPA yang diterajui AS turut dianggotai 11 lagi negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia dengan saiz pasaran bernilai AS$30 trilion (RM132.8 trilion).

Ketika ditanya mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Mustapa berkata, negara-negara yang mengambil bahagian dalam kerjasama itu komited memuktamadkan run­dingan menjelang akhir 2017.

“Kami telah mengaturkan beberapa mesyuarat di peringkat pegawai dan menteri. Kami sebelum ini melanjutkan tempoh rundingan beberapa kali tetapi kami bekerja keras untuk memastikan rundingan akan selesai menjelang akhir tahun depan,” katanya. – UTUSAN