Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, adalah tidak munasabah apabila badan-badan antarabangsa seperti Fitch, Moodys dan Standard & Poors memberi pengiktirafan yang cemerlang kepada Malaysia, tetapi sebaliknya berlaku terhadap sebahagian rakyat negara ini.

Beliau berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk mendapatkan penarafan oleh badan-badan tersebut kerana pihak-pihak berkenaan mengambil kira semua aspek prestasi dan pengurusan sumber kewangan negara.

“Malah banyak negara maju lain tidak mendapat penarafan seperti Malaysia itu (kategori A). Ini terbukti bahawa kerajaan telah mengurus kewangan termasuk hutang negara dengan baik.

“Meskipun hutang negara bertambah (berbanding semasa pentadbiran Perdana Menteri terdahulu), tetapi Malaysia mempunyai rizab antarabangsa yang jauh lebih tinggi berjumlah AS$ 106 bilion pada masa sekarang.

“Kadar hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kini adalah 50 peratus berbanding berada pada tahap 100 peratus semasa di zaman Perdana Menteri terdahulu.

“Malah kadar hutang negara berbanding KDNK kini telah berkurangan berbanding tahun lalu iaitu 54 peratus,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyampaian sumbangan wang ihsan banjir berjumlah RM500 kepada 399 buah keluarga bagi Parlimen Kangar yang terlibat banjir pada penghujung tahun lalu, di Dewan Warisan di sini hari ini.

Menurut Azlan, negara juga di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menetapkan kadar hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di bawah 55 peratus bagi memastikan kewangan negara ditadbir urus dengan baik.

Justeru beliau mempersoalkan bagaimana pihak-pihak tertentu yang menuduh bahawa negara boleh bankrap sedangkan ‘fakta dan angka’ yang dikeluarkan oleh badan-badan penarafan antarabangsa membuktikan sebaliknya.

“Adalah tidak munasabah apabila negara dituduh akan bankrap sedangkan petunjuk-petunjuk ekonomi dan penarafan antarabangsa tidak (menggambarkan) seperti itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE