Perkara tersebut disahkan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Endie Shazlie Akbar yang memberitahu pertemuan yang dijadualkan berlangsung pada pukul tiga petang itu adalah atas jemputan tertutup pihak Istana Johor yang ditunda sejak kira-kira dua minggu lalu.

Jelas beliau, kedua-dua pihak tidak dapat menentukan tarikh mesyuarat sehinggalah Dr. Mahathir memutuskan untuk menghadap Sultan Ibrahim esok.

“Pertemuan itu sudah dirancang sebelum Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong (Ahad lalu).

“Ia (Pertemuan) empat mata (tertutup) antara Sultan Ibrahim dan Dr. Mahathir. Tuanku (Sultan Ibrahim) mencadangkan pertemuan diadakan sejak dua minggu lalu.

“Menteri Besar Johor (Datuk Osman Sapian) tidak dijadualkan menghadiri pertemuan tertutup itu, bagaimanapun aspek protokol ketika lawatan Perdana Menteri akan diuruskan oleh Pejabat Menteri Besar,” katanya seperti dipetik portal Berita Harian Online.

Pertemuan antara Sultan Ibrahim dengan Dr. Mahathir merupakan perjumpaan pertama sejak Ahli Parlimen Langkawi itu menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mei lalu.

Majlis Raja-raja menetapkan tarikh 24 Januari ini untuk mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong Ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong susulan peletakan jawatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut sistem penggiliran, Sultan negeri seterusnya yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah Pahang namun Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah ketika ini sedang gering.

Bagaimanapun, timbul khabar angin mengatakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bakal ditabal sebagai Sultan Pahang menggantikan ayahanda baginda sekali gus membuka ruang untuk Tengku Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Setakat ini, hanya tiga negeri yang belum melengkapi giliran Yang di-Pertuan Agong bagi pusingan kedua iaitu Pahang, Johor dan Perak. - UTUSAN ONLINE