Pertemuan yang berlangsung selama satu jam setengah itu bukan sahaja dianggap penting, malah penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Sivamurugan Pandian menyifatkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Istana Johor kekal baik.

“Saya rasakan secara simbolik kita melihat selepas pertemuan itu, kedua-dua mereka menunjukkan kemesraan yang barang kali untuk menamatkan sebarang spekulasi ke atas hubungan mereka sebelum ini.

“Sehubungan itu, pertemuan empat mata tersebut juga memberikan gambaran bahawa hubungan antara Istana Johor dan Kerajaan Pusat kekal baik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pertemuan Dr. Mahathir yang mendedahkan bahawa baginda dengan dirinya bersetuju untuk bercakap secara terus terang antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, butiran perbincangan tidak didedahkan dan hanya menjadi rahsia antara mereka berdua.

Dalam pada itu, Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, sebarang isu yang melanda antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri perlu diselesaikan secara damai tanpa sebarang pertelingkahan.

“Sebarang salah faham yang dibawa oleh orang ketiga perlu dihapuskan dan pentingnya komunikasi secara terus. Ini penting supaya segala perancangan demi kebaikan bersama boleh dilaksanakan dengan jayanya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE