PRESIDEN Indonesia, Joko Widodo dan Ketua Majlis Ulama Indonesia, Ma'ruf menyerahkan dokumen mereka di pejabat suruhanjaya pilihan raya di Jakarta, hari ini. - AFP

Jokowi, 57 dan Ketua Majlis Ulama Indonesia, Ma’ruf, 75, mendaftar di Komisi Pemilihan Umum (KPU) pukul 10 pagi ini, manakala gabungan parti pembangkang mendaftarkan Ketua Umum Parti Gerindra, Prabowo Subianto sebagai calon presiden dan bekas timbalan gabenor Jakarta, Sandiaga Uno sebagai calon naib presiden, pada pukul 3.00 petang ini.

KPU sebelum ini menetapkan tarikh akhir pendaftaran bagi pencalonan presiden 2019 adalah pada 10 Ogos 2018. Pengundian Pilpres dijadual April 2019.

Berdasarkan data KPU, sebanyak 196.5 juta pengundi layak untuk memilih pada Pilpres 2019.

Pada Pilpres 2014, Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) memenangi 109 kerusi Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan didokong (disokong) parti-parti Golkar (91 kerusi), Partai Amanat Nasional (48 kerusi), PKB (47 kerusi), PPP (39), NasDem (36) dan Partai Hati Nurani Rakyat (Hanura) (16 kerusi).

-- LAGI

INDONESIA-PILPRES 2 (AKHIR) JAKARTA

Manakala parti pembangkang kepada pemerintah Indonesia ketika ini ialah Partai Gerindra yang memiliki 73 kerusi dan Partai Keadilan Sejahtera (40 kerusi), manakala partai Demokrat yang memenangi 61 kerusi memutuskan untuk menjadi parti bebas di DPR.

Pada pencalonan Pilpres 2019, Jokowi dan Ma’aruf mendapat sokongan penuh daripada parti PDIP, PKB, PPP, Partai Golkar, Partai Hanura, dan Partai Nasdem.

Manakala pasangan Prabowo-Sandiaga disokong Parti Gerindra, Partai Amanat Nasional dan PKS.

Pada Pilpres 2014, Jokowi yang berpasangan dengan Jusuf Kalla menang selepas memperoleh 53.15 peratus undi, mengalahkan pasangan Prabowo Subianto-Hatta Rajasa yang memperolehi 46,85% undi.

Namun Jusuf Kalla tidak lagi dicalonkan sebagai naib presiden kerana menjadi naib presiden selama dua penggal iaitu bersama Jokowi (2014-2019) dan naib presiden kepada Presiden Indonesia ke-6, Susilo Bambang Yudhoyono (2004-2009).

Perlembagaan Indonesia kini menetapkan bahawa jawatan presiden atau wakil (naib) presiden hanya boleh dijawat maksimum dua penggal sahaja.

-- BERNAMA